Rabu, 27 Julai 2011

Syair Wasiat Ayahanda Siti Zawiah KKJ TG1

SYAIR WASIAT AYAHANDA SITI ZAWIYAH

Anwar Ridhwan dan Rahman Shaari ( Penyelenggara)


Ada kepada suatu hari,

Sakit saudagar laki isteri,

Adalah kiranya tujuh hari,

Tidak bergerak kanan dan kiri.


Saudagar tahu akan dirinya,

Hampirlah mati kepada rasanya,

Lalulah memanggil akan anaknya,

Dicium kepala dengan tangisnya.


Katanya wahai cahaya mataku,

Tinggallah tuan buah hatiku,

Hampirlah mati gerangan aku,

Baiklah tuan tingkah dan laku.


Serta harta aku tinggalkan,

Tuan seorang yang menyukakkan,

Sampai habis semua diterimakan,

Faedahnya akan diberikan.


Jikalau tidak anakku berakal,

Harta pusaka dimanakan kekal,

Habis harta badan tinggal,

Laksana perahu bersauh tunggal.


Kerana harta tiada berguna,

Jikalau tidak akan sempurna,

Sekalian itu habislah fana,

Hanyalah tinggal badan merena.


Budi dan bahasa janganlah lupa,

Muliakan olehmu ibu dan bapa,

Mana yang datang padamu berjumpa,

Janganlah hambat tuan menyapa.


Kerana adat orang berbeza,

Tiada memancang harta dan benda,

Tegur dan sapa itu yang ada,

Itulah penambah di dalam dada.


Sinopsis

Rangkap 1: Saudagar dan isterinya sudah seminggu sakit dan tidak ke mana-mana.

Rangkap 2: Saudagar merasakan ajalnya hampir tiba, lalu memanggil dan mencium kepala anaknya.

Rangkap 3: Saudagar berpesan kepada anaknya supaya menjaga tingkah laku.

Rangkap 4: Saudagar mewasiatkan seluruh hartanya kepada anaknya.

Rangkap 5: Saudagar berpesan kepada anaknya supaya mengurus hartanya dengan bijak.

Rangkap 6: Jika harta tersebut tidak diurus dengan baik, ia kelak akan menimbulkan kesusahan.

Rangkap 7: saudagar berpesan kepada anaknya supaya berbudi bahasa dan memuliakan ibu bapa serta bersikap mesra terhadap orang lain.

Rangkap 8: Tingkah laku yang baik dan mesra adalah jauh lebih berharga berbanding harta.

Tema

Syair ini mengemukakan tema nasihat dan kata-kata terakhir seorang ayah kepada anaknya.

Persoalan

Antara persoalan yang dimuatkan dalam syair ini ialah kesedihan ketika diambang maut, kasih sayang bapa kepada anaknya, kepentingan menghormati ibu bapa, kepentingan mengurus harta peninggalan dengan bijaksana dan kepentingan amalan budi bahasa sesama insan.


3 ulasan: