Isnin, 25 Julai 2011

Syair Siti Sianah-HR TG4

Puisi Tradisional (Syair Siti Sianah)

Setengah Perempuan terlalu janggalnya,

Roma dimuka pula dicukurnya,

Seperti taji berandam di keningnya,

Kemudian memakai dengan selengkapnya.


Mengagak mengilai terlalu suka,

Melihat laki-laki tampakkan muka,

Supaya laki2 boleh meyangka,

Ianya elok tiada terhingga.


Setengah perempuan sangat pesolek,

Berhias berdandan berpakai molek,

Didalam cermin muka ditelek,

Kanan dan kiri dibelek-belek.


Meskipun tiada berapa eloknya,

Ada yang setengah kembang hidungnya,

Serta pula kepik batangnya,

Seperti buaya besar mulutnya.


Setengah perempuan perangainya cela,

Habis dipenuhi rambut kepala,

Rambut yang sikit disiputnya pula,

Memakai cemara berjela-jela.


Terkadang muka dibubuh pupuri,

Kaki dan tangan,lengan dan jari,

Jadilah rupanya putih berseri,

Pekerjaan tipu sangat digemari.


Setengah perempuan yang makan angkat,’

memakai gelang bertingkat-tingkat,

Memandang laki2 matanya lekat,

Dengan jantan suka berdekat.


Kaki dan tangan dinaikkan pula,

Pura-pura dikatakan ubat segala,

Hakikatnya diketahui Allah taala,

Supaya laki2 berhati gila.


Berlindunglah kita kepada Allah,

Daripada perbuatan yang amat salah,

Mudah-mudahan dilepaskan,

Jangan menjadi betina sempolah.


Setengahnya suka bermain judi,

Inilah perangai banyak terjadi,

Habislah tergadai intan serudi,

Kerana perangai sudah membadi.


Laki-laki perempuan bertindih lutut,

Banyaklah kelakuan yg tidak patut,

Sembahyang ibadat sudahlah bantut,

Kerana syaitan duduk dibuntut...


~Abu Hassan Sham(Puisi2 raja Ali Haji)


Maksud rangkap:

Rangkap 1

Segelintir wanita berlebih-lebihan ketika berdandan seperti mencukur bulu roma di muka dan

membentuk kening. Mereka juga berhias dan memakai pakaian yang selengkapnya.

Rangkap 2

Terdapat segelintir wanita yang ketawa mengilai-ngilai. Malahan, di hadapan lelaki dia akan

menunjuk-nunjukkan mukanya supaya lelaki tersebut terpikat akan kecantikannya.

Rangkap 3

Ada sesetengah wanita yang suka bersolek dan berhias. Mereka juga sanggup membuang

masa di hadapan cermin bagi melihat wajah mereka.

Rangkap 4

Terdapat segelintir wanita yang tidak begitu cantik dan jelita. Malahan, hidungnya kembang dan

tidak mancung seperti besar mulut buaya. Namun, mereka tetap berhias.

Rangkap 5

Ada sesetengah wanita yang berperangai buruk. Mereka membuat sanggul siput untuk

menutup kekurangan rambut, malahan ada yang sanggup memakai rambut palsu.

Rangkap 6

Ada juga yang melumuri bedak di kaki, tangan, lengan dan jari sehinnga putih semata-mata

untuk mengaburi mata orang yang melihatnya akan kekurangan diri mereka.

Rangkap 7

Terdapat segelintir wanita yang suka dipuji. Mereka memakai gelang sehingga ke pangkal

lengan dengan tujuan untuk menarik perhatian. Mereka juga suka berpeleseran dengan lelaki.Rangkap 8

Ada juga wanita yang mendedahkan kaki dan tangan dengan alasan untuk berubat.

Sebenarnya, niat mereka untuk membuatkan lelaki terpikat kepadanya. Namun, tindakan

mereka diketahui Allah.

Rangkap 9

Kita hendaklah memohon perlindungan daripada Allah agar kita akan terselamat daripada

segala kemungkaran, malahan dijauhi daripada berperangai seperti perempuan yang tidak

berakhlak.

Rangkap 10

Sesetengah wanita suka berjudi sehingga tergadai barang kemas akibat perangai buruknya

selama ini.

Rangkap 11

Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan akan mengakibatkan berlakunya perlakuan yang

tidak senonoh. Mereka juga mengabaikan solat kerana hasutan syaitan.

Tema

Nasihat kepada golongan wanita bagi memelihara maruah diri.

Persoalan

1. Persoalan sikap wanita yang suka berhias hingga melanggar hukum syarak.

2. Persoalan ketaaatan kepada Allah.

3. Persoalan kesan buruk perjudian.

4. Persoalan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.Bentuk

1. Terdiri daripada sebelas rangkap.

2. Setiap rangkap terdiri daripada empat baris.

3. Jumlah perkataan dalam setiap baris antara 2 hingga 6 patah kata.

· mudah-mudahan dilepaskanlah (2 perkataan)

· kaki dan tangan lengan dan jari (6 perkataan)

4. Terdiri daripada 9 hingga 14 suku kata.

· Ianya elok tiada tandingnya (9 suku kata)

· Sesetengah perempuan terlalu janggalnya (11 suku kata)

5. Rima akhir syair ini ialah aaaa

6. Syair ini adalah puisi terikat.

Gaya Bahasa

1. Asonansi - Pengulangan huruf vokal - Sesetengah perempuan perangainya cela

pengulangan vokal e

2. Aliterasi - Melihat laki-laki ditampakkan muka pengulangan konsonan ki

3. Kata ganda - dibelek-belek, berjela-jela

4. Simile - Seperti taji berandam di keningnya ,

Seperti buaya besar mulutnya

5. Bahasa klasik - molek, cemara, intan serudi dan sempolah

6. Peribahasa - makan angkat

Nilai

1. Nilai kesopanan

Seseorang wanita yang berada di khalayak ramai perlu bersopan santun seperti jangan

ketawa mengilai-ngilai.

2. Nilai kesederhanaan

Seseorang wanita perlu bersederhana dalam penampilan diri.3. Nilai ketaatan kepada agama.

Setiap tindakan yang ingin dilakukan oleh seseorang harus berlandaskan agama.

4. Nilai kesyukuran.

Bersyukurlah dengan kurniaan Tuhan dan menerima kekurangan diri.

Pengajaran

1. Seseorang wanita haruslah menjaga adab dan perilaku agar dihormati oleh orang lain..

2. Seseorang wanita perlu bersederhana dalam penampilan diri, namun tidaklah secara

berlebih-lebihan agar tidak menimbulkan fitnah.

3. Kita tidak harus terlibat dengan sebarang aktiviti perjudian agar tidak berlakunya

pembaziran.

4. Seseorang wanita haruslah menjaga batas pergaulan dengan golongan lelaki agar

terpelihara daripada maksiat.

Latihan

1. Nyatakan sifat-sifat negatif wanita berdasarkan Syair Siti Sianah

2. Berikan dua persoalan yang terdapat dalam Syair Siti Sianah.

Jawapan

1. Antara sifat negatif wanita berdasarkan Syair Siti Sianah ialah mencukur bulu roma di

muka dan kening. Selain itu, terdapat juga wanita yang ketawa mengilai-ngilai dan

berhias dengan tujuan memikat lelaki.

2. Persoalan yang terdapat dalam Syair Siti Sianah ialah persoala sikap wanita yang suka

berhias hingga melanggar hukum syarak dan persoalan ketaaatan kepada Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan