Ahad, 24 Julai 2011

Sajak Bangkitlah-Antologi DBK TG5

BNGKITLAH

Anak-anak yang sedang lena
bangkitlah
matahari sudah tinggi
di puncak gunung.

Lihat jernihnya pagi ini
burung-burung berterbangan di udara
dan pepohon hijau
merendang daunnya
apa kau masih belum bangkit?

Bangkitlah
jangan sesal nanti
madu bumi yang kekeringan
isi laut kekosongan
dan perut balantara menjadi ladang.

Anak-anak
esok apa yang akan kau makan?
tanah atau batu atau debu?
kau mau terus nangis
tanpa air mata?

Kalau tidak
bangkitlah
matahari belum lagi rembang
dan burung-burung belum lagi menjamah awan!

Maksud


Rangkap 1

Anak-anak muda hendaklah bangun daripada tidur kerana hari sudah lama siang.


Rangkap 2

Burung-burung sudah berterbangan di udara pada pagi yang indah ini dengan kehijauan pepohon yang menyegarkan mata memandangnya, tetapi penyajak tidak pasti sama ada anak-anak muda masih belum bangun.


Rangkap 3

Penyajak menyeru anak-anak muda agar bangun dan usahakan tanah yang subur dan galilah hasil yang ada di bumi yang kaya dengan pelbagai hasil agar tidak menyesal kemudian hari.


Rangkap 4

Penyajak bertanya kepada anak-anak muda tentang nasib mereka pada hari esok, sama ada mereka akan dapat makan untuk meneruskan hidup atau menyesali kesilapan mereka sebelum ini.


Rangkap 5

Oleh itu, penyajak menyeru anak-anak muda agar bangun daripada tidur dan berusahalah untuk mencari rezeki kerana hari masih siang dan masih belum terlambat lagi untuk berusaha.


Tema

Seruan kepada rakyat agar berusaha untuk mencari rezeki dan tidak mengabaikan peluang yang ada.


Persoalan
1. Usaha yang gigih untuk mencari rezeki.
2. Kerajinan untuk melakukan sesuatu untuk mendapat hasilnya.
3. Penyesalan pada suatu masa nanti tiada gunanya lagi.
4. Gunakan kesempatan dan peluang yang ada untuk kesenangan hidup

Gaya Bahasa
1. Metafora – madu bumi, perut belantara
2. Sinkof – kaumakan, kau mahu, kau masih
3. Pengulangan - bangkitlah
4. Kata ganda – burung-burung, anak-anak, pepohon
5. Asonansi – Lihat jernihnya pagi ini
6. Aliterasi – tanah atau batu atau debu

Nilai
1. Kerajinan
2. Kegigihan
3. Menghargai masa

Pengajaran

1. Kita hendaklah rajin berusaha untuk mencari kesenangan di negara yang kaya dengan pelbagai sumbernya ini.

2. Kita perlulah menggunakan peluang dan sumber yang ada untuk mencari rezeki.

3. Kita haruslah berusaha sebelum terlambat agar tidak menyesal pada suatu hari nanti.

4. Rebutlah peluang yang ada untuk mencari kesenangan hidup.


Latihan

1). Berikan gambaran suasana pagi seperti yang dinyatakan oleh penyajak dalam sajak ini.

2). Jika anda pelajar yang berasal daripada keluarga yang susah, bagaimanakah cara untuk mendapatkankehidupan yang lebih baik?


Jawapan

1. i.pagi itu cerah, ii. banyak burung yang terbang di udara, iii. pokok-pokok berdaun rendang dan berwarna hijau.

2. i.menjadikan kesusahan hidup sebagai perangsang untuk berjaya, ii. belajar dengan bersungguh-sungguh sehingga ke peringkat yang paling tinggi,iii.berusaha untuk mendapatkan pekerjaan yang baik agar dapat membela nasib diri dan keluarga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan