Ahad, 24 Julai 2011

Sajak Dibawah Langit Yang Sama-DBK TG5

DI BAWAH LANGIT YANG SAMA

Di bawah langi yang sama
Kita hirup udara
Tanpa mengira Beirutmu
Ataupun Kuala Lumpurku
Kita menghirup udara
Di bawah langit yang sama.

Aku suka gerimis diKota London
Pernah terpesona angin dingin-tajam di Washington
Pohon-pohon hijauatau aneka warna
tiada bezanya.

Siapapun menghuni Australia penghuni Afrika
Kerana di bawah langit ini
Kita sama.

Aku ingin menyeberangi Laut China Selatan
Layari Lautan Teduh rentasi Laluan Sutera
Berkongsi siang miliki malam
Anyam cinta pelangitkan zaman
Tiupkan harapan senada
Sesama kita-warga dunia
Di bawah langit-Nya
Yang sama.

Peta-peta itu yang memisahkan
Jangan tutup pos sempadan
Visa hanya keperluan rasmi seketika
Pasport dokumen pengenalan titik mula
Kita dakapi mimpi tak berbeza
gapai hasrat
Lebur kebencian kuburkan sejarah hitam
Di bawah langit ini yang sama.

Rangkap 1

Maksud: Penyajak menggambarkan bahawa walau di manapun kita berada, kita menghirup udara yang sama dan berada di bumi ciptaan Tuhan. Taraf manusia pun sama.

Rangkap 2

Maksud: Penyajak kagum akan gerimis di kota London dan terpesona dengan tiupan bayu dingin di Washington. Namun aneka warna tumbuh-tumbuhan tetap serupa. Tempat-tempat lain yang mempunyai keistimewaan tersendiri juga didiami oleh manusia.

Rangkap 3

Maksud: Penyajak ingin menjelajah ke seluruh pelosok dunia untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan berkongsi impian yang sama iaitu melihat keamanan dan keharmonian dunia. Beliau ingin melihat dunia bersama-sama bagi memperjuangkan keamanan.

Rangkap 4

Maksud: Penyajak mendapati manusia sering dipisahkan oleh sempadan negara dan untuk memasuki negara tersebut perlu ada dokumen rasmi seperti pasport dan visa. Penyajak menyeru rakyat di dunia agar sama-sama berjuang mencapai keamanan dunia serta mengikis rasa benci dan dendam.


Tema:

Kesamatarafan manusia walau di mana-mana mereka berada. Walaupun manusia berada dan dipisahkan oleh sempadan, mereka setaraf dan mengimpikan kehidupan yang aman dan harmoni.

Persoalan:

1. Persoalan keindahan alam semula jadi di sesuatu tempat. Setiap tempat mempunyai keindahan alam semulajadi yang tersendiri.

2. Persoalan harapan dan impian manusia sejagat untuk kehidupan yang aman dan harmoni. Setiap orang mempunyai impian dan harapan untuk kehidupan yang aman dan harmoni.

3. Persoalan garis sempadan seringkali memisah dan membezakan manusia. Manusia dipisahkan oleh faktor geografi.

4. Persoalan kepentingan nilai hormat dan menghormati antara manusia. Nilai ini penting dalam kehidupan.

Nada:

· Sinis

Nilai:

1. Nilai menghargai keindahan alam. Keindahan alam perlu dihargai.

2. Nilai hormat-menghormati sesama manusia. Nilai ini penting dalam kehidupan seharian.

3. Nilai bertoleransi antara masyarakat. Toleransi penting dalam kehidupan bermasyarakat.

4. Nilai kerjasama dalam menjayakan sesuatu. Kerjasama penting untuk menjayakan sesuatu.

Pengajaran:

1. Kita mestilah menganggap manusia sebenarnya sama taraf walaupun di manapun mereka berada.

2. Kita mestilah menganggap setiap tempat mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

3. Kita hendaklah sedar bahawa manusia seringkali dipisahkan dan dibezakan oleh sempadan waktu dan tempat.

4. Kita mestilah mewujudkan hubungan harmoni sesama negara dan rakyat.

5. Kita hendaklah mengimpikan kehidupan yang lebih baik dan harmoni


Latihan

1. Terangkan maksud Lebur kebencian kuburkan sejarah hitam dalam rangkap kelima sajak ini.

2. Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang dapat dilakukan untuk menangani isu kemanusiaa sejagat?

3. Jelaskan tiga latar tempat yang terdapat dalam sajak ini.


Jawapan

1. bermaksud membuang/mengikis perasaan benci dan melupakan segala persengketaan.

2. i.perihatin terhadap masalah/bencana/malapetaka dunia, ii. meletakkan kepentingan isu kemanusiaan melebihi kepentingan peribadi atau untuk menunjukkan kekuasaan/pengaruh, iii.mengadakan persidangan secara berterusan antara negara-negara miskin, membangun, dan maju, iv.menyokong sepenuhnya dasar PBB yang mendukung prinsip keamanan dan kemanusiaan sejagat.

3. Latar tempat-Beirut,KL, London, Washington, Afrika, Laut China Selatan, Lautan Teduh, LAutan Sutera.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan