Selasa, 26 Julai 2011

Sajak Persahabatan GSGG TG2

PERSAHABATAN

(Mohd Amran Daud)


I

Seorang kanak-kanak

berbaju kurung nampak cantik

berlesung pipit beralis lentik

bermain-main riang, bermain keseorangan

pada wajahnya meriak gembira

pada bibirnya menguntum ceria

berderai ketawa mengocak suasana.

II

Seorang kanak-kanak

berpakaian ceongsam bertocang dua

bergincu pipi tampak ceria

tiba-tiba datang menerpa bertegur sapa

menghulur senyum dan ketawa manja

pada wajahnya menyerlah keriangan

mereka bermain alang-kepalang

berkejar-kejaran tanpa halangan.

II

Seorang kanak-kanak

bersari bergelang kaki

bertindik hidung menguntum seri

melihat saja telata manja

si comel berdua, bermain, dan tertawa

dirinya bagai digamit bermain bersama

mengongsi kemesraan

menterjemah makna kejiranan.

IV

Ah, kanak-kanak

bira berlainan agama

biar berlainan bangsa

mereka saling bersalaman

dan berpeluk mesra

tanpa menghiraukan adat dan budaya;

membina keakraban tanpa curiga

membentuk perpaduan tanpa prasangka

bersatu hati membentuk jati diri

ke arah wawasan lebih bererti!


Rangkap 1

Gambaran seorang kanak-kanak berbangsa Melayu yang nampak cantik apabila berbaju kurung. Mempunyai lesung pipit dan kening yang lentik. Dia sedang bermain-main keseorangan dalam keadaan keriangan. Di wajahnya menampakkan kegembiraan melalui senyum dan ketawanya.

Rangkap 2

Gambaran seorang kanak-kanak berbangsa Cina yang mengenakan pakaian cheongsam dan mempunyai dua tocang pada rambutnya. Wajahnya menampakkan keceriaan. Kemudian dia datang bertegur sapa dengan kanak-kanak berbangsa Melayu. Dia menghulurkan senyuman dan ketawa manja yang menyerlahkan keriangannya. Kemudian mereka bermain dan berkejaran bersama-sama tanpa sesiapa yang menghalang.

Rangkap 3

Gambaran seorang kanak-kanak berbangsa India yang mengenakan pakaian sari, bergelang dan bertindik hidung. Apabila dia melihat keriangan kanak-kanak berbangsa Melayu dan Cina itu bermain bersama-sama maka timbul rasa di hatinya untuk bermain bersama-sama dan berkongsi kemesraan.

Rangkap 4

Kanak-kanak yang berlainan agama dan bangsa itu saling bersalaman dan berpeluk mesra. Mereka tidak menghiraukan perbezaan adat dan budaya yang wujud antara mereka. Mereka telah membina hubungan baik antara satu sama lain tanpa rasa curiga. Wujudnya perpaduan dalam kalangan mereka tanpa rasa prasangka. Mereka telah bersatu hati membentuk jati diri bagi merealisasikan wawasan negara agar lebih bererti.

Sajak ini mengemukakan tema tentang perpaduan antara kaum – masyarakat berbilang kaum perlulah bekerjasama antara satu sama lain bagi mewujudkan perpaduan.

1. Persoalan hubungan persahabatan yang wujud tanpa mengira kaum dan agama.

2. Persoalan keakraban dan perpaduan dapat dicapai tanpa wujudnya rasa sangsi atau curiga antara satu sama lain.

3. Persoalan kemesraan dalam perhubungan contohnya kanak-kanak pelbagai kaum bermain bersama-sama dengan riang dang gembira.

4. Persoalan sikap ramah mesra tanpa batasan kaum iaitu kanak-kanak berbangsa Melayu terhadap kanak-kanak berbangsa lain untuk bermain bersama-sama.

Sajak ini bernada patriotik

1. Kata ganda

Kanak-kanak / Bermain-main / berkejar-kejaran.

2. Personifikasi

pipi tampak ceria bergincu (Rangkap 2, baris 3)

3. Inversi

bertindik hidung menguntum seri (Rangkap 3, baris 3)

4. Simile

Dirinya bagai digamit bermain bersama. (Rangkap 3, baris 6)

5. Anafora

pada wajahnya meriak gembira

pada bibirnya menguntum ceria. (Rangkap 1, baris 5&6)

6. Asonansi

melihat saja telatah manja (Rangkap 3, baris 4)

pengulangan konsonan ’a’

7. Aliterasi

menterjemah makna kejiranan (Rangkap 3, baris 8)

pengulangan konsonan ’n’.

1. Sajak ini terdiri daripada empat rangkap

2. Jumlah baris adalah bebas.

Contohnya: Rangkap 1- ada tujuh baris, Rangkap 2 – ada lapan baris, Rangkap 3 – ada lapan baris dan Rangkap 4 –ada sepuluh baris.

3. Jumlah perkataan antara tiga hingga enam patah kata sebaris.

4. Jumlah suku kata antara lima hingga lima belas suku kata sebaris.

5. Rima akhir bebas

1. Nilai perpaduan

Masyarakat perlulah bersatu padu antara satu sama lain untuk menjayakan wawasan negara.

2. Nilai keakraban dalam hubungan persahabatan

Kanak-kanak pelbagai kaum menjalin hubungan persahabatan tanpa timbul rasa curiga.

1. Kita hendaklah menjalinkan hubungan persahabatan tanpa mengira kaum atau agama.

2. Kita janganlah menyimpan perasaan curiga atau prasangka antara satu sama lain.

3. Masyarakat perlulah bersatu-padu antara satu sama lain bagi menjayakan wawasan negara.

1. Jelaskan maksud rangkap ketiga sajak Persahabatan.

2. Senaraikan tiga bentuk sajak Persahabatan.

3. Pada pandangan anda, mengapakah perpaduan antara kaum amat penting di negara kita?

Jawapan:

1. Maksud rangkap ketiga sajak ini ialah Gambaran seorang kanak-kanak berbangsa India yang menegenakan pakaian sari, bergelang dan bertindik hidung. Apabila dia melihat keriangan kanak-kanak berbangsa Melayu dan Cina itu bermain bersama-sama maka timbul rasa di hatinya untuk bermain bersama-sama dan berkongsi kemesraan.

2. Tiga bentuk sajak persahabatan ialah :

a) Sajak ini terdiri daripada empat rangkap

b) Jumlah baris adalah bebas.

Contohnya: Rangkap 1- 7 baris, Rangkap 2 – 8 baris, Rangkap 3 – 8 baris dan Rangkap 4 -10 baris.

c) Rima akhir adalah bebas.

3. Perpaduan kaum di negara kita adalah penting kerana:

a) Dapat menjamin keharmonian dan keamanan negara

b) Dapat menjamin keharmonian hidup bermasyarakat

c) Untuk mengelakkan perpecahan kaum dan permusuhan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan