Ahad, 24 Julai 2011

Sajak Dirgahayu Bahasaku-Ting 5

DIRGAHAYU BAHASAKU

Tempatmu di singgahsana
hati nurani bangsakus
warga yang berbudi
setia dan amanah.

Bahasa itu maruah bangsa
yang mesti dipelihara martabatnya
agar tetapkukuh dan ampuh
melayari lautan bijaksana
salam ikatan mesra dan teguh.

Cekal dan waja semangat pejuangku
hak bangsaku memilikimu
hak bangsaku mendaulatkanmu
di bumi bertuah ini
merentas dunia tak bertepi.

Sejarah bangsa mencatatkan kegemilangan
ke barat dan ke timur menjalin persaudaraan
gagah pelautku membelah lautan
ke utara dan ke selatan bahasaku mencengkam
dari pulau ke pulau menggilap mutiara silam.

Dirgahayu bahasaku
di arena antarabangsa suaramu tumbuh
menusuk kalbu lagu bahasamu
bahasamu bahasa minda
mudah akrab dan bertatasusila
daripada bangsa yang bernama Melayu
menempa kejayaan di alaf baru.

MAKNA / MAKSUD:
  1. Rangkap 1: Status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan digunakan secara rasmi dan dijadikan bahasa pertuturan utama oleh rakyat yang mengenang budi, patuh dan setia.
  1. Rangkap 2: Bahasa Melayu merupakam maruh bangsa Melayu yang mesti (2)dipertahankan kedudukannya agar terus kukuh dan teguh. Keampuhan bahasa Melayu membolehkan kehidupan menjadi lebih bijaksana dan sejahtera
  1. Rangkap 3: Pejuang bahasa mempunyai semangat waja dan cekal untuk mendaulatkan bahasa di tanah air tercinta dan mengembangkan pengaruhnya ke seluruh dunia

  1. Rangkap 4: Sejarah telah mencatatkan zaman kemasyhuran bangsa Melayu. Mereka Berjaya menjalinkan hubungan dengan Negara-negara di seluruh kepulauan nusantara. Bahasa Melayu turut dipandang tinggi serta berperanan sebagai bahasa pengantar dan bahasa perhubungan pada masa ini.
  1. Rangkap 5: Bahasa Melayu yang indah kata-katanya dan kaya dengan pelbagai ilmu, seiring dengan kesopanan bahasa Melayu berupaya untuk terus berkembang maju di arena antarabangsa dan semakin menempa kejayaan pada alaf baru
Tema

Bahasa kebangsaan perlu dipelihara dan dimartabatkan darjatnya.

Persoalan
1. Sayang akan bahasa kebangsaan
2. menghargai sumbangan bahasa kebangsaan
3. hormat akan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu
4. keyakinan dan optimis akan masa depan bahasa kebangsaan


Nilai
1. Semangat patriotik; contoh, rakyat mencintai dan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Negara kita.
2. Semangat perpaduan; semua kaum di Negara kita menggunakan satu bahasa, iaitu bahasa Melayu
3. Kesyukuran; contoh, rakyat bersyukur kerana bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu yang terkenal dan digunakan secara meluas di seluruh nusantara.
4. Bertanggungjawab; contoh, rakyat bertanggungjawab menjaga dan memastikan bahawa bahasa Melayu tidak dicemari oleh bahasa asing

Pengajaran
1. Kita hendaklah menyayangi bahasa kebangsaan kita sendiri.
2. Setiap rakyat negara ini haruslah memartabatkan bahasa kebangsaan.
3. Kita mestilah yakin akan kemampuan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu.
4. Kita perlulah menggunakan bahasa kebangsaan untuk memupuk perpaduan kaum.
5. Kita hendaklah bersyukur kerana bahasa Melayu diwarisi sejak turun-temurun

1 ulasan: