Rabu, 27 Julai 2011

Pantun Empat Kerat ( Berjimat Cermat ) KKJ TG1

PANTUN EMPAT KERAT ( Berjimat cermat )

Zailiani Taslim ( Penyelenggara)


Pergi ke belukar memasang pikat,

Pulangnya lewat di hujung petang;

Jikalau sentiasa berjimat cermat,

Rezeki secupak terasa segantang.


Indah nian pemandangan dunia,

Dari timur hingga selamat;

Sikap berjimat amalan mulia,

Orang boros sahabat syaitan.


Masak meranum buah ara,

Jatuh sebiji di atas papan;

Jika berjimat setiap perkara,

Pasti terjamin masa hadapan.


Sungguh pahit buah peria,

Dimakan juga dibuat sayuran;

Membesar belanja sikap sesia,

Hanya menambah beban kewangan.


Singgah berehat di Kota Lama,

Kuih dijamah air dihirup;

Berjimat cermat suruhan agama,

Jika diamal sejahteralah hidup.


Inderagiri pasirnya lumat,

Tempat berkelah putera raja;

Baik sedikit tetapi berjimat,

Daripada banyak membazir sahaja.


Turun ke ladang memetik kacang,

Hendak dibuat masak lemak;

Segala urusan jika terancang,

Sikap membazir pasti terelak.


Tingkatan 1: Pantun Empat Kerat (Berjimat Cermat)


Rangkap
Maksud
1
Berbelanja secara berhemah seolah-olah mendapat rezeki yang melimpah-ruah.
2
Berjimat cermat merupakan amalan yang tepuji manakala membazir pula merupakan perbuatan yang keji.
3
Orang yang berjimat cermat pasti akan hidup senang.
4
Orang yang boros akan menanggung hutang yang banyak.
5
Berjimat cermat merupakan tuntutan agama.Oleh itu, orang yang berjimat cermat pasti akan hidup bahagia.
6
Memiliki harta yang sedikit tetapi berjimat cermat adalah lebih baik daripada memiliki harta banyak tetapi boros.
7
Orang yang membuat perancangan sebelum melakukan sesuatu pekerjaan pastu tidak akan menanggung kerugian.


Tema : Faedah berjimat cermat
Persoalan: a) Syaitan sentiasa menggoda manusia supaya membuat pembaziran.
b) Orang yang berjimat cermat akan hidup senang pada kemudian hari.
c) Orang yang hidup sederhana tetapi berjimat cermat adalah lebih baik daripada orang
yang kaya tetapi boros.

Nilai : a) Rasional – mampu berfikir untuk membezakan perkara yang baik dengan perkara yang buruk
seperti berbelanja secara berhemah.
b) Kebersihan mental – fikiran yang sihat dan membina.
c) Kesederhanaan– tidak keterlaluan ketika membeli belah.

Pengajaran : a) Kita hendaklah berjimat cermat kerana perbuatan membazir itu dilarang oleh Tuhan.
b) Kita tidak boleh bersikap boros untuk mengelakkan kita daripada menanggung hutang.
c) Setiap perkara yang hendak dilakukan mestilah dirancang terlebih dahulu.

Soalan Praktis :
1. Frasa membesar belanja dalam rangkap keempat bermaksud
A. boros
B. tamak
C. kedekut
D. suka berhutang

2. Pilih kedudukan jeda yang tepat
A. Jikalau/sentiasa berjimat cermat,
B. Hanya menambah/beban kewangan,
C. Jika diamal sejahteralah/hidup,
D. Daripada banyak membazir/sahaja,


3. Yang berikut merupakan ciri-ciri bentuk Pantun Berjimat Cermat, kecuali
A. berbentuk bebas
B. rima akhir abab
C. 8 hingga 10 suku kata dalam setiap baris
D. 3 hingga 6 patah perkataan dalam setiap baris.

4. Berdasarkan rangkap yang kelima, orang yang berjimat cermat dikatakan
A. akan kaya-raya
B. akan mendapat berkat
C. akan sentiasa hidup aman damai
D. tidak akan menanggung kerugian.

5. Pilih pernyataan yang salah berasarkan maksud pantun di atas.
A. Membuat perancangan akan dapat
mengelakkan kerugian.
B. Berjimat cermat merupakan amalan hidup
yang baik..
C. Semua orang yang kaya hidup berjimat
cermat.
D. Orang yang boros akan menanggung banyak
hutang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan