Sabtu, 23 Julai 2011

Pantun Lapan Kerat-Antologi Komsas TG5

Pantun Lapan Kerat

Buat bangsal di tengah hutan,
Tebaslah hutan buat halaman,
Di tepi halaman menanam kubis,
Diselang dengan pokok papaya;
Biar sabar dengan perlahan,
Itulah tanda tuan beriman,
Tidak patah digoncang iblis,
Akhirnya tuan menang berjaya.

Ikan teluk parang-parang,
Anak ketam disangka lelabi,
Berburu musim tengkujuh,
Dapat buruan dibelah-belah;
Bukan makhluk sebarang-barang,
Cucu Adam sepaian nabi,
Turun dari langit ke tujuh,
Jadi khalifah kepada Allah.

Lengkang-lemngkung apa dipaku,
Paku jatuh patah dua,
Menjadi riuh orang di darat,
Anak Cik Itam jatuh jalar;
Bumi kandungan nenek moyangku,
Kerana lalai rosak binasa,
Kebudayaan timur dinodai barat,
Bahasa ibunda hina terbiar.

Maksud


Rangkap 1
Bersifat sabar ialah tanda orang yang beriman. Orang yang beriman tidak akan terpedaya dengan bisikan iblis dan itu sebagai tanda kejayaan.

Rangkap 2
Keturunan manusia berasal daripada Nabi Adam. Dipilih menjadi menjadi khalifah/ pemimpin di muka bumi Allah.

Rangkap 3
Kelalaian manusia menyebabkan bumi rosak binasa. Kebudayaan Timur telah dicemari oleh budaya Barat malah bahasa ibunda juga turut diabaikan.

Tema
Keagamaan

Persoalan
1. Persoalan kunci kejayaan ialah bersabar. (rangkap 1)
2. Persoalan keistimewaan sebagai seorang manusia. (rangkap 2)
3. Persoalan pencemaran budaya dan bahasa . (rangkap 3)

Nilai
1. Nilai kesabaran. Kesabaran amat penting untuk menepis segala hasutan iblis.
2. Nilai kesyukuran.Bersyukurlah kita dengan segala anugerah Allah kepada kita.
3. Nilai keimanan. Keimanan penting dalam mengharungi kehidupan.

Pengajaran
1. Kita hendaklah sabar dalam menjalani kehidupan agar kita beroleh kejayaan.
2. Kita hendaklah bersyukur apabila dipilih sebagai pemimpin.
3. Kita janganlah merosakkan budaya dan bahasa Melayu.



Latihan

(i) Apakah yang disarankan oleh pemantun dalam rangkap pertama pantun ini.(3m)

(ii) Pada pandangan anda, bagaimanakah cara untuk mengembalikan kegemilangan bahasa Melayu? Jelaskan tiga cadangan anda (3M).

(iii) Nyatakan tiga nilai murni yang terdapat dalam pantun ini ( 3M)

Jawapan

(i) Saranan supaya bersifat sabar.

Tidak mudah dihasut atau dipengaruhi.

(ii) Menggunakan bahasa Melayu dalam urusan harian dan rasmi

Menjadikan bahasa Melayu sebagai medium bahasa pengantar pembelajaran.

Mahasiswa perlu menjadi tulang belakang dalam memartabatkan nahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.

(iii) Sabar- orang yang sabar akan memperolehi kejayaan.

Bersyukur-manusia berasal daripada keturunan yang mulia, iaitu Nabi Adam.

Semangat patriotisme-mempertahankan warisan nenek moyang daripada anasir luar.

1 ulasan: