Sabtu, 23 Julai 2011

Syair Makna Riak-Antologi Komsas TG5

Syair Makna Riak

Mohd Yusoff Md Nor dan Abd Rahman Kaeh ( Penyelenggara)


Kemudian dinyatakan makna riak,

Amal ibadat kerana manusia,

Inilah kebencian Tuhan yang sedaya,

Sebab kerana syirikkan Dia.


Terkadang riak pula dilakukan,

Mengiringkan beberapa puasa tak makan,

Bertutur itu suara diperlahankan,

Tubuh dan badan tidak dihiraukan.


Supaya disangkaianya wali,

Akan dunia tidak peduli,

Hemahnya itusangatlah ali,

Tetapi hatinya ke dunia bertali.


Terkadang riakkan ia berilmu,

Bersurah ketika orang berjamu,

Berkata-kata tidaklah jemu,

Nahu dan sarap habis diramu.


Terkadang bercakap ilmunya mantik,

Bicara alhayat konon diselidik,

Supaya di sangka ianya cerdik,

Sukalah orang memberinya gundik.


Terkadang riak dengan pakaian,

Berserban lilit ekor berhambayan,

Sejadah di bahu bersampaian,

Tasbih di tangan beruitan.


Pejamkan mata duduk bersila,

Lidah berzikir Allah Taala,

Terkadang jazbah seperti gila,

Kasadnya hendak jadi kepala.


Riak demikian menjadi balak,

Amal itu tentu ditolak,

Terkadang dilemparkan ke mukanya pulak,

Allah Taala sualak.


Maksud Syair :

Rangkap 1:
Riak merupakan satu perbuatan atau sifat baik untuk menunjuk-nunjuk kepada orang ramai. Perbuatan ini dibenci oleh tuhan kerana mendatangkan syirik.

Rangkap 2:
Kadang-kadang perbuatan riak ini ditunjukkan dengan cara berpuasa, bercakap dengan lemah lembut dan melakukan sesuatu perkara tanpa menghiraukan kepentingan diri.

Rangkap 3:
Dia melakukan perkara itu agar orang menganggap dirinya wali yang tidak peduli hal dunia. Perbuatannya nampak baik tetapi sebenarnya dia sekadar berpura-pura.

Rangkap 4:
Kadang-kadang riaknya dilakukan dengan meninggi-ninggikan kelebihan ilmunya. Dia sentiasa membaca al-quran dan memberi ceramah. Namun perkara yang betul dan salah semua dicampur aduk.

Rangkap 5:
Kadang-kadang dia bercakap seolah-olah idea/fikirannya logik. Seolah-olah telah membuat penyelidikan supaya dia disangka cerdik. Oleh itu, banyak orang ingin menjadikannya sebagai menantu.

Rangkap 6:
Kadang-kadang orang riak dengan cara berpakaian. Mereka berserban dan sejadah sentiasa terletak di bahunya serta di tangannnya memegang tasbih.

Rangkap 7:
Duduk bersila dan mata terpejam sambil berzikir menyebut nama Allah. Gayanya keterlaluan seolah-olah dialah ketua.

Rangkap 8:
Riak boleh mendatangkan bala. Amalan kita akan ditolak dan Allah tidak suka dengan sifat riak.


Tema
Syair ini mengemukakan tema tentang sifat-sifat manusia yang riak.


Persoalan
1. Persoalan sifat riak merupakan sifat yang dibenci oleh tuhan.
2. Persoalan terdapat golongan manusia yang suka menunjuk-nunjuk tentang kelebihan diri.
3. Persoalan ilmu yang dimiliki digunakan untuk kepentingan diri
4. Persoalan kehidupan orang yang riak pasti tidak mendapat keberkatan – amalan tidak diterima oleh Allah.

Nilai
1. Nilai kesyukuran
Contoh: bersyukur dengan ilmu yang dimiliki.
2. Nilai kesederhanaan
Contoh: bersederhana dalam segala perbuatan tanpa menunjuk-nunjuk.


Pengajaran
1. Kita janganlah bersifat riak.
2. Kita janganlah suka menunjuk-nunjuk kelebihan yang ada pada diri kita.
3. Kita haruslah menggunakan ilmu yang dimiliki ke arah jalan benar.
4. Kita hendaklah melakukan sesuatu perkara dengan ikhlas.
5. Kita janganlah melakukan perkara yang membawa kepada syirik.


Latihan

1.Apakah yang dimaksdukan dengan Kasadnya hendak menjadi kepala? (3M)

2.Pada pendapat anda, mengapakah seseorang itu dilarang sama sekali bersifat riak?(3m)

Berikan contoh gaya bahasa simile dan personifikasi yang terdapat dalam syair ini.(3m)


Jawapan

Jawapan –Syair makna riak

(i) Bermaksud –dengan tujuan untuk menjadi ketua/pemimpin.

(ii) Riak mendorong berlakunya perbuatan syirik kepada Allah

Menanamkan sikap angkuh dan suka menunjuk-nunjuk kepada orang lain.

Menimbulkan rasa kurang senang.

Mewujudkan permusuhan antara anggota masyarakat.

(iii) Simile - terkadang jazbah seperti gila

- personifikasi - lidah berzikir Allah taala

Tiada ulasan:

Catat Ulasan