Sabtu, 23 Julai 2011

Syair Pemberontakan Patani-Antologi DBK TG5

Syair Pemberontakan Patani

Laksamana dititahkan Betara,
Ke negeri Patani berjalan segera,
Mendapat cogan Raja Senggora,
Akan menerima hukum dan dera.

Barang yang hendak dihukumkan,
Sekalian tidak boleh disalahkan,
Kesalahan pinta dimaafkan,
Pegawai yang dipegang itu dipohonkan.

Setelah demikian titah Betara,
Laksamana tiada berani dura,
Kerana negeri hendak dipelihara,
Kelak menjadi huru-hara.

Bonda duli mahkota indera,
Pada Laksamana emak saudara,
Sakit terlantar hampir bermara,
Meninggalkan dia tiada terkira.

Daripada kerja terlalu berat,
Ke atas negeri hendak mudarat,
Jadilah dititahkan duli hadirat,
Bimbang dan masghul di suruh kerat.

Tiadalah lagi terkata-kata,
Sudah dengan titah sang nata,
Diputuslah hati yang bercinta,
Kepada Allah diserah semata.

Niat Laksamana yang pegari,
Daulat baginda barang berdiri,
Jika selamat sentosa negeri,
Biarlah susah di atas diri.

Berjalan ia berhati hampa,
Bonda yang sakit tiada dilupa,
Kerana sakit berat menimpah,
Yakin hatinya tiada berjumpa.

Daripada sudah dimikian peri,
Keberatan tertanggung di atas negeri,
Yang sakit itu seorang diri,
Bala yang datang meliput negeri.

Jadilah dititahkan Seri Betara,
Tiadalah lagi terkira-kira,
Berjalanlah pergi bersegera-segera,
Mendapat cogan Raja Senggora.

Maksud Syair:


Rangkap 1:
Laksamana telah dititahkan oleh betara ke negeri Patani dengan segera untuk pergi mendapatkan panji-panji atau perintah daripada Raja Senggora tentang peraturan dan hukuman.

Rangkap 2:
Mereka yang dikenakan hukuman harus menerimanya. Mereka boleh memohon agar diberikan pengampunan daripada pegawai yang berkenaan.

Rangkap 3:
Setelah mendengar titah betara, laksamana tidak lagi risau kerana negeri yang ditinggalkannya akan tetap terpelihara daripada huru-hara.

Rangkap 4:
Pada masa yang sama bonda Duli Mahkota Indera iaitu emak saudara laksamana, sudah lama gering dan laksamana tidak sanggup meninggalkan baginda.

Rangkap 5:
Walaupun dengan berat hati, laksamana tetap menjunjung perintah betara.

Rangkap 6:
Laksamana tidak dapat berkata apa-apa kerana dia terpaksa menurut perintah dan laksamana menyerahkan segala-galanya pada Allah.

Rangkap 7:
Harapan laksamana agar dapat mendaulatkan nama baginda demi keamanan negara walaupun laksamana terpaksa berkorban.

Rangkap 8:
Dalam menjalankan tugas, laksamana tetap tidak melupakan bonda yang gering meskipun dalam hati kecilnya kemungkinan tidak dapat bertemu dengan bondanya.

Rangkap 9:
Sudah tersurat bahawa masalah yang dihadapi dalam negeri lebih berat berbanding dengan masalah bondanya yang sakit seorang diri kerana melibatkan rakyat jelata.

Rangkap 10:
Maka laksamana melaksanakan titah seri betara dengan segera bagi mendapat panji-panji/perintah Raja Senggora.


Tema
Syair ini mengemukakan tema tentang tanggungjawab seorang laksamana melaksanakan perintah raja.


Persoalan
1. Persoalan kesetiaan terhadap pemimpin.
2. Persoalan mematuhi arahan pemerintah.
3. Persoalan kepentingan negara menjadi keutamaan bagi setiap rakyat.
4. Persoalan keamanan negara tanggungjawab kita.

Nilai
1. Nilai kesetiaan
Contoh: Setia kepada pemerintah dan negara
2. Nilai amanah
Contoh: Laksamana melaksanakan amanah betara.
3. Nilai cinta akan negara
Contoh: Laksamana sanggup tinggalkan bondanya yang sakit demi negara.

Pengajaran
1. Kita hendaklah melaksanakan amanah yang diberikan.
2. Kita haruslah akur dengan arahan pemimpin demi kepentingan negara.
3. Kita perlulah mengutamakan kepentingan negara daripada kepentingan diri.
4. Kita hendaklah setia kepada raja dan negara.
5. Kita janganlah bersedih dengan keputusan yang diambil sekiranya mendatangkan kebaikan kepada orang lain


Latihan 1.

1. Berikan tiga pengajaran yang terdapat dalam Syair Pemberontakan Patani.

2. Pada pendapat anda, bagaimanakah caranya untuk menanam semangat cinta akan

negara dalam kalangan remaja?

Jawapan

1. Tiga pengajaran yang terdapat dalam Syair Pemberontakan Patani ialah:

i. Kita hendaklah melaksanakan amanah yang diberikan.

ii. Kita haruslah akur dengan arahan pemimpin demi kepentingan negara.

iii. Kita perlulah mengutamakan kepentingan negara daripada kepentingan diri.

2. Cara untuk menanam semangat cintakan akan negara dalam kalangan remaja ialah

melalui :

i. Pendidikan di sekolah

ii. Kempen, seminar atau bengkel

iii. Penyertaan remaja dalam persatuan atau pertubuhan belia


Latihan 2.

1. Berdasarkan rangkap ke lapan syair ini, perihalkan keadaan Laksamana sewaktu

meninggalkan negerinya.

2.Pada pendapat anda, adakah tindakan Laksamana pergi ke Patani itu wajar?

Berikan tiga alasan anda.

3.Huraikan tiga perwatakan Laksamana yang terdapat dalam syair ini.


Jawapan

1. i). Laksamana berjalan dengan perasaan hampa

ii). Laksamana tidak melupakan ibu saudaranya yang sedang sakit tenat.

iii). Laksamana yakin bahawa dia tidak dapat berjumpa dengan ibu saudaranya lagi kerana

kerana beliau sedang tenat.

2. Wajar: i). Laksamana perlu membuktikan taat setianya kepada Betara.

ii). Laksamana perlu menjalankan tugasnya menjaga keamanan negara.

iii). Laksamana perlu mengutamakan kepentingan negara lebih daripada kepentingan

peribadi.

3. Taat- akan perintah pemerintah. Contohnya Laksamana taat akan perintah Betara yang

mengarahkannya ke Patani untuk memerangi musuh.

Rela berkorban - Cthnya, Laksamana sanggup meninggalkan ibu saudaranya yang sedang

sakit tenat demi menjaga keamanan negara.

Taat beragama- Cth, Laksamana menyerahkan nasibnya kepada Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan