Sabtu, 23 Julai 2011

Pantun Enam Kerat-Antologi Komsas-TG5

Pantun Enam Kerat
Md. Ali Bachik

Putik kelapa menjadi muda,
Kelapa muda jadi kemirau,
Sudah kemirau menjadi kotai;
Hati luka pura tiada,
Rasa pedih buat tak hirau,
Ibarat kaca jatuh ke lantai.

Ambil galah jolok kedondong,
Galah pendek buluh sumpitan,
Buluh bersisip tali jerami;
Bukan salah ibu mengandung,
Sudah takdir sudah suratan,
Sudah nasib jadi begini.

Sarat bermuat ikan cencaru,
Gelama tidak berumpan lagi,
Kail tersangkut di tepi batang;
Sudah dapat orang yang baru,
Yang lama tidak berkenaan lagi,
Ibarat melukut di tepi gantang.

MAKSUD RANGKAP
Rangkap 1
Kelukaan di hati disembunyikan daripada pengetahuan orang lain walaupun pedihnya amat mendalam.
Rangkap 2
Sesuatu yang berlaku kepada kita harus diterima dengan perasaan yang reda kerana itu semua sudah suratan takdir bukannya salah ibu yang melahirkan kita.
Rangkap 3
Sudah menjadi kelaziman manusia sering melebihkan orang yang baru sehingga orang lama terasa disisihkan dan tidak diperlukan lagi.
TEMA
Kekecewaan dalam hidup.
PERSOALAN
1. Persoalan menyembunyikan hati yang terluka (rangkap 1)
2. Persoalan menerima suratan takdir (rangkap 2)
3. Persoalan mengutamakan yang baru berbanding yang lama. (rangkap 3)

NILAI
1. Nilai keredaaan.Contohnya reda dengan suratan takdir.

2. Nilai ketabahan. Contohnya sentiasa tabah dengan kesedihan yang menimpa diri.

PENGAJARAN
1. Kita janganlah terlalu menunjukkan rasa kecewa.
2. Kita janganlah sesekali menyalahkan takdir.
3. Kita janganlah melupakan orang yang pernah berjasa kepada kita.

Latihan
1. Nyatakan maksud rangkap pertama pantun tersebut.
2. Berikan maksud ibarat melukut di tepi gantang

3. Nyatakan contoh-contoh yang menunjukkan bahawa pemantun seorang yang tabah atau cekal hati.

4. Pada pendapat anda, apakah kebaikannya jika kita mengamalkan maksud rangkap pertama pantun di atas?

5. Jelaskan dua pengajaran yang dapat diperolehi daripada pantun ini.

Jawapan

3. a)Tidak menghiraukan kekecewaan yang dialaminya.b) Mempunyai kekuatan dalaman yang kuat. c) Redha atas ketentuan yang telah ditetapkan oleh Tuhan.

4. a).mengelakkan daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh agama. b).Hati kita akan menjadi lebih tenang untuk meneruskankehidupan. c).Mampu menempuh dugaan yang mendatang.

5. a).Kita hendaklah mempunyai kekuatan diri untuk melawan segala kekecewaan dalam hidup. b). Kita harus percaya bahawa setiap yang berlaku ada hikmahnya yang tersembunyi. c).Kita mesti cekal menghadapikegagalan dalam percintaan.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan