Rabu, 27 Julai 2011

Drama Mendung Hitam Beralih Jua KJJ TG1

Mendung Hitam Beralih Jua

Sinopsis


Pak Jusuh mengeluh apabila anaknya Jamilah meminta wang sebanyak RM75.00 untuk membayar yuran SPM, sedangkan pendapatannya sebagai nelayan tidak seberapa dan hutangnya di kedai Mutusami semakin banyak. Mak Limah menegur sikap suaminya yang pernah menolak tawaran ke tanah rancangan. Akan tetapi bagi Pak Jusuh, nasib nelayan juga baik seperti Haji Dolah yang mempunyai rumah besar dan kereta. Ketika itu Mutusami datang dan meminta hutang daripada Pak Jusuh. Oleh sebab Pak Jusuh tidak mempunyai wang, radio miliknya menjadi cagaran.

Pak Seman datang bertujuan mengundang Pak Jusuh ke rumah menantunya untuk majlis kenduri doa selamat. Kemudia Pak Jusuh meluahkan kesusahan hidupnya. Pak Seman memujuk Pak Jusuh ke tanah rancangan agar hidupnya boleh berubah. Pak Jusuh bersetuju dan mereka berjanji untuk ke rumah tuk penghulu pada esok hari.

Nilai murni


Nilai murni daripada drama ialah baik hati, contohnya Pak Seman mempelawa Pak Jusuh ke tanah rancangan agar nasibnya lebioh baik.

Selain itu kerajinan, contohnya Haji Dolah gigih berusaha sebagai nelayan menyebabkan nasibnya lebih baik berbanding Pak Jusuh.

Seterusnya rasional, contohnya Mutusami tidak berterusan mendesak Pak Jusuh membayar hutang kerana dia memahami masalah yang dihadapi oleh Pak Jusuh.

Akhir sekali semangat bermasyarakat, contohnya Pak Seman mengundang Pak Jusuh ke rumah menantunya yang akan mengadakan kenduru doa selamat

Pengajaran


Pengajaran daripada drama ialah patut merebut peluang yang baik, contoh yang ditunjukkan oleh Pak Jusuh pada mulanya menolak ke tanah rancangan janganlah diikuti.

Selain itu kita perlu mengamalkan sikap tolak ansur, contohnya Mutusami tidak lagi mendesak Pak Jusuh membayar hutang kerana dia memahami masalah yang dihadapi oleh Pak Jusuh.

Seterusnya kita wajib mengamalkan sikap bermasyarakat, contohnya Pak Jusuh menerima undangan Pak Seman untuk ke rumah menantu rakannya itu yang akan mengadakan majlis kenduri doa selamat.

Akhir sekali kita perlu memanfaatkan masa terluang dengan aktiviti berfaedah, contohnya Jamilah mengisi masa terluang dengan melibatkan diri dalam kegiatan pertubuhan belia di balai raya kampungnya.

Drama Arah ke Mana KJJ TG1

Arah ke Mana

Sinopsis


Haji Pakir menegur sikap isterinya, Hajah Derisah yang memanjakan anaknya, Rohani. Bagi Hajah Derisah, anak daranya itu sudah besar dan tahu menjaga diri. Bagi Haji Pakir, terlalu memanjakan anak buruk padahnya. Walaupun Rohani sudah berjaya dalam pelajaran, tetapi ilmu agama perlu diberikan perhatian. Ketika suami isteri bertengkar, Rohani pulang. Haji Pakir melayan Rohani dengan baik tetapi Rohani bersikap biadap. Haji Pakir ingin tahu hala tuju Rohani hari itu, tetapi bagi Rohani ayahnya terlalu mengambil tahu hal peribadinya, malah sikap ayahnya menyekat kebebasannya dan berfikiran kolot. Haji Pakir membangkitan pergaualan Rohani yang kerterlaluan. Pertengkaran itu berakhir dengan Rohani mahu keluar dari rumah itu. Perbuatan Rohani yang terlibat dalam najis dadah telah menyebabkan dia meninggal dunia. Di tanah perkuburan, Haji Pakir dan Hajah Derisah mengakui kesilapan yang dilakukan oleh mereka dalam mendidik anak.

Nilai murni

Nilai murni menerusi drama ialah kasih sayang, contohnya Haji Pakir dan Hajah Derisah teramat menyayangi anaknya, sebab itu keterlanjuran anaknya dalam kehidupan telah ditegur oleh bapanya.

Selain itu keinsafan, contohnya Haji Pakir dan Hajah Derisah insaf atas kesilapan mereka dalam mendidik anak sehinggakan anak mereka mati terjebak dalam najis dadah.

Pengajaran

Pengajaran daripada drama ialah kita perlu menghormati kedua-dua ibu bapa kita, contoh yang ditunjukkan oleh Rohani yang biadap terhadap ayah dan ibunya janganlah diikuti.

Selain itu setiap ibu bapa hendaklah mengimbanginya antara akademik dan akhirat dalam mendidik anak, contoh yang ditunjukkan oleh Haji Pakir dan Hajah Derisah yang mengutamakan akademik dan kurang menekankan soal akhlak dalam mendidik Rohani janganlah dicontohi.

Akhir sekali kita wajib mengakui ajal maut ketentuan Allah, contohnya Haji Pakir dan Hajah Derisah menerima ketentuan Ilahi bahawa anaknya sudah meninggal dunia.

Drama Surat Untuk Ina KJJ TG1

Drama Surat Untuk Ina

TEMA:-

  • Kenakalan pelajar lelaki yang melakukan kesalahan melanggar peraturan sekolah.

SINOPSIS:-

  • Badar dan Jais mengusik Zali kerana keinginannya berkenalan dengan seorang pengawas yang bernama Zalina.
  • Badar dan Jais mendesak Zali agar menulis surat tanpa menuliskan namanya dalam surat itu.
  • Surat tersebut kemudian diletakkan di bawah meja Zalina tanpa diketahui oleh sesiapa.
  • Apabila Zalina membaca surat tersebut, dia terus melaporkan hal tersebut kepada Cikgu Halil.
  • Cikgu Halil naik marah dan meminta pelajar yang bertanggungjawab supaya mengaku.
  • Cikgu Halil terpaksa memeriksa tulisan pelajar bagi mengecam bentuk tulisan pada surat itu.
  • Akhirnya Cikgu Halil dapat mengenal pasti bahawa Zali yang empunya angkara.
  • Zali meminta maaf kepada Cikgu Halil dan Zalina.
  • Zalina memaafkan Zali dan memintanya supaya tidak mengulangi perbuatan itu lagi

Cerpen Sepucuk Surat Daripada Kawan KKJ TG1

Sepucuk Surat daripada Kawan

Sinopsis

Penulis berasa gembira apabila menerima surat daripada Abe. Penulis membaca surat itu sebanyak lima kali. Abe yang kini belajar di Kelantan memberitahu akan berpindah dan bersekolah di tempat penulis. Penulis menyambut kedatangan Abe di stesen bas. Petang itu penulis dan Abe berjalan-jalan di sekitar Jalan Cenderawasih. Pada hari Sabtu, penulis dan Abe bersiar-siar di Berjaya Megamall, Kuantan selama lima jam.

Abe ditempatkan di kelas bersebelahan dengan penulis. Abe cemerlang dalam pelajaran Matematik. Pada satu hari, Abe mengadu sakit, lalu penulis membawanya pulang ke rumah. Ketika keputusan PMR mahu diumumkan, ibu bapa Abe membawanya pulang ke Kelantan. Abe meninggalkan penulis dengan sepucuk surat. Dalam surat itu Abe memberitahu keinginan untuk menjadi seorang pelakon dan Abe menulis tentang kesihatannya.

Belum sempat penulis habis membaca surat itu dan mengetahui penyakit yang dihidapi oleh Abe, adik penulis merampas surat tersebut. Penulis mengejar adiknya, tetapi adiknya mencampak cebisan surat itu ke dalam unggun api. Penulis terus tertanya-tanya tentang penyakit misteri Abe.

Nilai murni

Nilai murni daripada cerpen ialah baik hati, contohnya penulis melayan Abe dengan baik ketika Abe tinggal bersama-samanya.

Selain itu berdikari, contohnya Abe tinggal bersama penulis, sedangkan keluarganya berada di Kelantan.

Akhir sekali memanfaatkan waktu, contohnya sejak kedatangan Abe, penulis lebih banyak mengulang kaji pelajaran dan ke perpustakaan, tidak lagi bersama Zul dan Fadli.

Pengajaran

Pengajaran daripada cerpen ialah kita perlu menghargai kunjungan rakanlama, contohnya penulis berbesar hati dan melayan dengan baik kedatangan Abe dari Kelantan.

Selain itu kita hendaklah bersikap terus terang, contoh yang ditunjukkan oleh Abe yang merahsiakan penyakitnya membuatkan penulis tertanya-tanya janganlah diikuti.

Akhir sekali kita wajar membantu orang yang dalam kesusahan, contohnya penulis membawa Abe pulang ke rumah apabila Abe mengadu sakit.

Cerpen Trauma Embah KKJ TG1

Trauma Embah

Sinopsis

Untuk menjaga kesihatan, ibu memakan pelbagai jenis vitamin. Ibu berasa gembira apabila anak dan cucunya pulang ke kampung. Untuk mengisi masa terluang, ibu menjalankan perniagaan dari jam 3.00 petang hingga 6.00. Perniagaan berbentuk ”parti serbaneka” dijalankan tanpa asas perniagaan. Ibu belajar setakat darjah enam dan disuruh kahwin dengan abah yang bertugas sebagai guru.

Ketika muda, datuk bekerja sebagai penoreh getah. Manakala embah akan membantu mengutip getah susu. Embah tidak mengabaikan tugasnya membesarkan lima orang anak kandung dan empat orang anak tiri. Datuk meninggal dunia kerana sakit tua. Apabila datuk meninggal, embah dijaga oleh anaknya, mak cik penulis. Sejak embah tiada, ibu terasa kehilangan dan rumah embah dirobohkan.

Embah pulang ke kampung kerana rindukan kampung halaman. Kemudian embah ke Kuala Lumpur lagi dan tinggal di rumah anaknya. Apabila embah sakit, ibu berulang alik ke Kuala Lumpur. Seterusnya, apabila suami mak cik meninggal dunia, embah dibawa pulang ke rumah ibu di kampung, setelah hampir 20 tahun tinggal di kota.

Ibu menjaga embah dengan penuh kasih sayang. Pada satu malam, embah mengigau dan menyebut ”budak itu”. Sebenarnya embah masih trauma tentang kematian dua anaknya dahulu;seorang berusia tiga tahun diserang demam panas dan seorang lagi berusia dua tahun terjatuh ke dalam kolam. Embah menyimpan penderitaan di dalam jiwa kerana datuk melarang embah menangis. Kesabaran ibu telah menginsafkan penulis untuk menjadi seorang anak yang dapat menjaga ibunya satu hari nanti.

Nilai Murni

Nilai murni cerpen ialah kasih sayang, contohnya ibu menjaga embah yang uzur dengan penuh kasih sayang.

Selain itu berdikari, contohnya ibu tidak terlalu mengharapkan wang daripada suaminya, sebaliknya berniaga untuk menambahkan pendapatan.

Seterusnya tanggungjawab, contohnya datuk bekerja sebagai penoreh getah untuk menyara keluarganya.

Akhir sekali ketaatan, contohnya embah akur dengan kata-kata datuk dan tidak sesekali dia membantah.

Pengajaran

Pengajaran daripada cerpen ialah kita perlu menjaga ibu kita dengan penuhkasih sayang, contohnya ibu menjaga embah yang nyanyuk dengan penuh kasih sayang.

Seterusnya kita hendaklah mengisi masa terluang dengan aktiviti berfaedah, contohnya ibu berniaga dari jam 3.00 petang hingga 6.00 petang untuk menambahkan pendapatan.

Selain itu kita wajib mengutamakan pendidikan, contohnya yang ditunjukkan oleh datuk yang merang ibu melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah janganlah diikuti.

Akhir sekali kita perlu menjadikan pengalaman sebagai penduan hidup, contohnya penulis menginsafi akan pengorbanan ibunya menjaga embah dan berazam untuk menjaga ibunya dengan baik satu hati kelak.

Cerpen Yuran KKJ TG1

Yuran

Sinopsis

Amin meminta wang sebanyak RM60.00 daripada emaknya, Mak Jah untuk membayar yuran sekolah. Mak Jah tidak dapat memberi kerana tiada wang. Di sekolah, Cikgu Arsad mendesak Amin membayar yuran sukan dan yuran PMR esok. Desakan itu membuatkan Amin berasa malu dan tertekan, lalu mengambil keputusan ponteng sekolah.

Ketika dia sedang melihat permainan video, dia dilanggar dari arah sisi oleh seseorang, menyebabkan buku dalam begnya bertabur. Seorang wanita menjerit meminta pertolongan. Beberapa orang pemuda dilihatnya berlari-lari ke satu arah. Amin segera mengejar pemuda ditu dan berjaya menangkap lelaki itu. Anggota polis segera memberkas pemuda tersebut.

Wanita yang dibantu tadi menyoal Amin. Apabila dirinya dikatakan ponteng sekolah, Amin segera meninggalkan wanita itu. Apabila Amin tiba di rumah dan melihat Amin tidak membawa beg, Mak Jah tahu anaknya ponteng sekolah. Ketika Mak Jah sedang meleteri akan sikap Amin, wanita tadi muncul dengan keretanya. Wanita itu menceritakan hal yang sebenar kepada Mak Jah. Kemudian wanita tersebut menyerahkan sedikit wang sebagai membalas jasa Amin. Amin berasa terharu dan berjanji akan meneruskan cita-citanya.

Nilai Murni

Antara Nilai murni ialah keberanian, contohnya Amin berani menangkap pemuda yang meragut beg seorang wanita.

Selain itu hemah tinggi, contohnya Mak Jah tidak segera menerima pemberian wang daripada wanita yang ditolong oleh anaknya, sebaliknya pada peringkat awal ditolak secara baik.

Akhir sekali kesyukuran, sebagai tanda syukur dan berterima kasih kepada wanita menyerahkan sejumlah wang kepada keluarga Amin.

Pengajaran

Pengajaran daripada cerpen ialah kita perlu memahami masalah yangditanggung oleh orang lain, contohnya yang ditunjukkan oleh Cikgu Arsad yang mendesak Amin membayar yuran tidak patut diikuti.

Selain itu kita hendaklah mengutamakan pelajaran, contohnya yang ditunjukkan oleh Amin yang ponteng sekolah janganlah diteladani.

Seterusnya kita seharusnya membalas jasa orang, contohnya wanita itu memberikan sagu hati kepada keluarga Amin kerana Amin pernah menolongnya.

Cerpen Tukang Lama KJJ TG1

Tukang Lama

Sinopsis

Sejak kembalinya Manas ke kampung setelah menamatkan kursus di sekolah Seni Bina, sambutan masyarakat terhadap Pak Talib terhadap kerja-kerja membina rumah semakin kurang. Orang sekarang tidak menyukai bentuk rumah berkelepak dua yang dibuat olehnya. Jika ada yang menjemput Pak Talib, hanya membina reban ayam. Hal ini menyebabkan isterinya Mak Lamah selalu meleterinya.

Hari itu dia berjaya menyudahkan membina reban kepunyaan Mamat. Setelah selesai kerja yang dilakukan selama empat hari, dia diberikan upah sebanyak RM 10.00, Jumlah tersebut menyebabkan dia terasa terhina terhadap kerjaya yang dipilihnya. Dia pulang dalam keadaan kecewa dan bimbang akan dimarahi oleh isterinya. Pada waktu malam, Mak Lamah memberitahu ada orang merisik anaknya, Si Timah. Apabila diberitahu calon menantunya ialah Manas, hati Pak Talib berbunga keriangan.

Nilai Murni

Nilai murni daripada cerpen ialah berdikari, contohnya Pak Talib meneruskan kerjanya sebagai tikang membina rumah.

Selain itu tanggungjawab, contohnya Pak Talib bertanggungjawab mencari rezeki untuk keluarganya.

Akhir sekali kasih sayang, contohnya Pak Talib dan Mak Lamah berasa gembira kerana anaknya Si Timah sudah dirisik oleh keluarga Manas.

Pengajaran

Pengajaran daripada cerpen ialah kita perlu mengikuti perkembangansemasa untuk dihargai oleh masyarakat, contoh yang ditunjukkan oleh Pak Talib yang kekal dengan reka bentuk lama dalam pembinaan rumah janganlah diikuti.

Selain itu masyarakat perlu menghargai kerja berdasarkan kualiti dan masa yang diambil, contohnya yang ditunjukkan oleh Mamat dengan memberi upah sebanyak RM 10.00 setelah Pak Talib menyiapkan reban tidak patut dicontohi.

Akhir sekali kita hendaklah bersikap baik dengan orang lain, contohnya walaupun Manas memberikan persaingan kepada Pak Talib, tetapi dia tidak pernah membenci lelaki itu